Putus cinta: Pelajar sekolah tikam bekas kekasih
KUALA LUMPUR – Cinta tiga segi remaja berusia 15 tahun berakhir dengan tragedi apabila seorang pelajar perempuan ditikam tiga kali menggunakan pisau dapur, manakala bekas kekasihnya ditahan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan berkata, dalam kejadian pukul 4 petang, Jumaat lepas, pelajar perempuan itu ditikam sebanyak tiga kali di bahagian perut dan pinggang oleh bekas kekasihnya itu.
Katanya, kejadian yang berlaku di Pangsapuri Taman Datuk Senu di sini itu turut disaksikan oleh kekasih baharu mangsa yang dipercayai menemani mangsa berjumpa bekas kekasihnya itu.
"Sebelum kejadian, dipercayai pelajar tersebut telah bertengkar dengan bekas kekasihnya yang tidak dapat menerima dirinya ditinggalkan pelajar perempuan itu kerana mempunyai kekasih baharu,” katanya di sini hari ini.
Zakaria berkata, ketiga-tiga pelajar adalah dari sekolah menengah yang sama di Sentul.
Beliau berkata, mangsa yang mengalami cedera parah kini stabil dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur. – BERNAMA
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment