Ferguson minat beli Van Persie.
LONDON: Sir Alex Ferguson mengesahkan pengurusan Manchester United membuat bidaan untuk mendapatkan penyerang Arsenal, Robin van Persie.
Ferguson membuat bidaan untuk mendapatkan Van Persie selepas pemain Belanda itu yang bakal menamatkan kontraknya pada akhir kempen musim depan sebelum itu mengumumkan enggan menandatangani kontrak baru bersama Gunners.
Juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City dan pasukan gergasi Itali, Juventus turut menyatakan minat untuk mendapatkan Van Persie tetapi Ferguson cuba merebut peluang itu dengan memberikan tawaran lebih lumayan.
Arsenal dipercayai menolak bidaan United kerana mereka menuntut bayaran sekurang-kurangnya £20 juta (RM98.3 juta) untuk bintang Belanda berusia 28 tahun itu yang menjaringkan 37 gol dalam semua kejohanan musim lalu dan menang dua anugerah pemain tahunan.
“Jelas sekali Arsenal sudah mendedahkan bahawa kami membuat bidaan untuk mendapatkannya,” kata Ferguson.
“Kami cuba merahsiakan perkara ini hingga kami sah mendapatkan tawaran itu. Tiada guna membincangkan perkara yang tidak mungkin berlaku.
“Ada kelab lain yang berminat mendapatkan pemain itu. “Kami menunjukkan minat dan itulah kedudukan kami ketika ini.” Van Persie mengejutkan jurulatih Arsenal, Arsene Wenger apabila dia mengumumkan sebaik berakhirnya Euro 2012 mahu meninggalkan kelab utara London itu kerana menganggap cita-cita pasukan itu tidak selari dengan impiannya.
Kemelut membabitkan Van Persie itu tidak ubah seperti yang berlaku kepada Cesc Fabregas dan Samir Nasri yang akhirnya terpaksa dijual kepada Barcelona dan Manchester City meskipun Wenger terdesak mahu terus menyimpan mereka. - AFP
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment