Powered by Jasper Roberts - Blog

MTUC gesa pencarum KWSP diberi opsyen

on Sunday, July 22, 2012





MTUC gesa pencarum KWSP diberi opsyen


SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu pencarum diberi opsyen untuk mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) susulan undang-undang baru menaikkan usia persaraan swasta kepada 60 tahun.

Presidennya, Khalid Atan berkata, kerajaan khususnya KWSP sewajarnya memberi pilihan kepada para pencarum, termasuk tempoh peralihan tiga hingga lima tahun, sebelum menguatkuasakan peraturan baru selari dengan keputusan menaikkan usia persaraan swasta.

"Undang-undang usia persaraan baru diluluskan dan hendak dikuatkuasakan, ramai pencarum tidak bersetuju had usia pengeluaran dinaikkan.

"Kemungkinan ada pencarum yang sudah membuat perancangan pengeluaran... jadi kita wajar memberi peluang dan opsyen kepada mereka, misalnya tempoh peralihan tiga hingga lima tahun, baru peraturan KWSP dikuatkuasakan," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Sehubungan itu Khalid berkata, pihaknya akan membangkitkan perkara tersebut ketika pertemuan dengan KWSP minggu ini.

Ketika ini, penyumbang boleh membuat pengeluaran KWSP separa pada usia 50 tahun dan pengeluaran penuh simpanan mereka selepas bersara pada usia 55 tahun.

Laporan media baru-baru ini menyebut bahawa had umur untuk pengeluaran penuh KWSP akan dinaikkan kepada 60 tahun dan pengeluaran separa hingga 55 tahun.

"Ia merupakan satu langkah yang berbangkit. Sebaik sahaja kami meningkatkan umur persaraan minimum, kita perlu menaikkan umur pengeluaran KWSP juga," kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim.

Lim berkata, keputusan itu telah dibuat dan ia hanya menunggu masa sebelum pindaan itu akan berkuat kuasa.

Minggu lalu, beberapa pihak termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan agar pekerja diberi pilihan untuk mengeluarkan simpanan KWSP pada umur 55 atau 60 tahun.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dilapor berkata, kerajaan belum membuat keputusan berhubung had umur pengeluaran caruman KWSP.

Khalid juga mengesyorkan agar mereka yang mengeluarkan simpanan sepenuhnya pada usia 55 tahun sekarang dan mahu terus bekerja, dibenarkan mencarum 11 peratus, bukannya enam peratus yang diamalkan sekarang.

"Amalan sekarang, jika seseorang mengeluarkan carumam penuh pada usia 55 tahun dan memilih untuk meneruskan caruman, mereka hanya dibenar membuat caruman enam peratus.

"Jadi, kita mencadangkan agar pekerja-pekerja ini dibenar caruman 11 peratus sebagai bahagian mereka manakala majikan pula 13 peratus," katanya lagi.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Laman Semasa All Rights Reserved