Bekas Ketua Wanita UMNO Maut Kena Tikam.
ALOR SETAR – Cukup menyayat hati apabila seorang lelaki berusia 62 tahun yang pulang ke rumah selepas menunaikan solat Tarawih di surau terpaksa melihat isterinya dipenuhi darah akibat ditikam penjenayah malam tadi.
Malah, dalam kejadian kira-kira 9.20 malam tersebut, Mee Hashim sempat mendengar keluhan isterinya, Halimah Yunus, 66, mengadu dia ditikam oleh seorang lelaki sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Mee berkata, dia tidak menyangka kejadian tersebut akan menimpa isterinya seorang yang sangat mengambil berat tentang hal masyarakat dan mempunyai hubungan yang baik dengan orang-orang kampung.
“Arwah tinggal seorang diri di rumah waktu saya pergi sembahyang tarawih malam tadi sebab dia tak sihat sejak kena sakit penat (asma) beberapa tahun lepas,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Mee seterusnya berkata, terdapat kesan pecah masuk di pintu belakang rumahnya namun tiada barang berharga yang hilang termasuk barang kemas yang dipakai arwah isterinya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik, DSP Mohd. Ismail Ibrahim berkata, Halimah yang juga Bekas Ketua Wanita UMNO Cawangan Bukit Hangus ditemui mati berlumuran darah di rumahnya di kampung Bukit Hangus, Jeneri, Sik.
Menurut beliau, mangsa ditemui dengan kesan kelar di leher kiri dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah tersebut kira-kira pukul 9.20 malam.
Tambah beliau, polis masih menyiasat motif pembunuhan itu kerana tiada barang berharga yang hilang ketika kejadian.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment