10 maut akibat hujan paling lebat di Beijing
BEIJING - Seramai 10 orang maut selepas hujan paling lebat dalam tempoh 60 tahun melanda ibu kota China ini yang turut menyebabkan banjir, lapor agensi berita Xinhua semalam.
Kira-kira 80,000 orang turut terperangkap di sebuah lapangan terbang utama di sini ekoran hujan tersebut.
Hujan itu bermula pada waktu tengah hari kelmarin dan berterusan sehingga malam.
Beberapa batang jalan raya turut dilanda banjir.
Menurut agensi berita tersebut, dua orang terbunuh selepas bumbung sebuah bangunan runtuh manakala seorang lagi maut dipanah petir di pinggir Tongzhou.
Beberapa kematian lain berlaku disebabkan kejutan elektrik ekoran tiang elektrik tumbang, lapor Xinhua.
Menurut Beijing News, lebih 500 penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing.
Bagaimanapun, sistem tren bawah tanah tidak terjejas walaupun terdapat ramai orang yang menggunakan perkhidmatan itu untuk pulang ke rumah selepas mereka tidak dapat menggunakan teksi, bas dan kereta sendiri.
Menurut Xinhua, ibu kota ini menerima secara puratanya kira-kira 170 milimeter (mm) hujan.
Ia melaporkan daerah perbandaran Fangshan menerima sebanyak 460mm hujan. - Reuters
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment