Buku psikologi masakan Fazley
MEMULAKAN karier sebagai penyanyi dan dikenali ramai melalui lagu Asmara Ini pada tahun 2007, nama Datuk Fazley Yaakob, 34, seterusnya melebarkan kariernya selaku perunding motivasi dan penulis buku. Dia kemudian menyandang gelaran ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang pentadbiran perniagaan yang diperoleh menerusi pengajian di Universiti of Wales, United Kingdom, England.
Namun, beberapa kontroversi yang mencemarkan namanya apabila gelaran tersebut dipertikaikan hasil pendedahan Perbadanan Penyiaran British (BBC) yang mendakwa kelulusan European Business School yang dimiliki dari sebuah institusi pengajian di luar negara adalah palsu.
Susulan itu, Fazley meletakkan jawatan selaku Pengarah Eksekutif, Fazley International College yang terletak di ibu kota bagi mengelakkan kolej itu terjejas hubungan dengan Universiti Of Wales.
Selepas kontroversi berkenaan, nama Fazley seakan-akan tenggelam dan hanya dikenali sebagai perunding motivasi sehingga dia baru-baru ini muncul sebagai juara program MasterChef Selebriti Malaysia di saluran Astro Ria.
Menariknya, Fazley yang bersaing dengan rakan selebriti lain seperti Angah Raja Lawak (yang tumpas kepadanya untuk bergelar juara), Tomok, Juliza Adlizan, Soo Wincci dan ramai lagi, tidak menyangka bahawa peluang yang pada mulanya ingin ditolak telah menjulang namanya sebagai juara. Ikuti temu bual Fazley bersama Kosmo!.
Kosmo!: Selepas menjadi juara MasterChef Selebriti Malaysia, adakah bidang masakan akan menjadi kerjaya terkini Fazley selepas ini?
FAZLEY: Belum terfikir lagi, tetapi saya akan menulis buku psikologi masakan untuk membantu orang ramai lebih tenang jika memasak. Contohnya, kalau berada dalam keadaan tertekan, apa jenis masakan yang paling sesuai seperti kata kalau orang nak bercerai masak masakan itu tidak jadi bercerai. Saya merupakan orang yang percaya kepada sains pemakanan. Saya percaya makanan dapat ubah persepsi orang itu kepada yang lebih baik.
Apa kelainan pada diri anda selepas menjadi juara MasterChef Selebriti?
Saya rasa lebih dikenali. Dulu orang yang kenal saya secara terhad dan mereka kenal saya sebagai artis dan perunding motivasi sahaja, sekarang warga emas berbilang bangsa juga sudah kenal, sampai ada wanita warga emas India yang saya jumpa di Pulau Pinang tanya bagaimana buat resipi tempoyak versi Melayu.
Apa perasaan anda apabila nanti orang akan lupa anda sebagai penyanyi dan lebih kenal sebagai chef?
Saya tidak kisah itu semua, jika ada orang tegur tanya resipi, walaupun berselisih dengan saya kerana itu sudah cukup rasa dihargai.
Bagaimana anda boleh mempunyai skil memasak. Adakah anda memasak di rumah?
Saya tidak pernah memasak di rumah, tetapi saya jenis yang cepat ingat jika lihat ibu dan isteri memasak. Saya hanya memasak jika dalam keadaan terdesak contohnya, menyediakan makanan isteri dalam pantang.
Apakah pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang berada dalam program tersebut?
Saya rasa siapa yang menonton rancangan itu mesti tahu, sudah tentu ketika episod Datuk Siti Nurhaliza sebagai juri jemputan yang mana saya ketika itu membuat karipap yang menjadi kegemaran beliau.
Apa rancangan anda selepas program ini?
Saya ada menyertai program Chef Suprise di saluran Astro Prima akan bersiaran pada setiap Sabtu dan Ahad di bulan Ramadan ini. Saya akan berada di Hotel Cyberview Resort & Spa di Cyberjaya sebagai penampilan khas untuk menyediakan hidangan buat orang ramai yang hadir.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment