Powered by Jasper Roberts - Blog

Beribadat sebagai isteri.

on Sunday, July 22, 2012


Beribadat sebagai isteri.

APABILA melangkah ke fasa dewasa, hari raya tidak lagi sama kemeriahannya seperti zaman kanak-kanak. Itu perubahan normal yang dilalui kebanyakan insan dan perkara itu diakui dua sahabat popular, Scha Al-Yahya dan Lisa Surihani.
Bagaimanapun, apabila bergelar isteri kepada Awal Ashaari dan Yusry Abdul Halim, persepsi mereka berubah kerana kemeriahan itu seakan-akan kembali mencuit tangkai hati. Mana yang hambar kembali berseri, mana yang dirasakan biasa-biasa saja kembali terasa istimewa.

Pendek kata, perasaan teruja menyambut kehadiran Ramadan, penghulu segala bulan, semalam bersama pasangan masing-masing tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Itulah yang dikongsi dua jelitawan ini ketika menjayakan sesi fotografi eksklusif bersama SELEBRITI yang menjadi pembuka tirai edisi Ramadan.



Anggun dalam persalinan sentuhan pereka fesyen terkenal, Syaiful Baharim, baik Scha mahupun Lisa rancak berkongsi perancangan sepanjang Ramadan dan persiapan sambutan lebaran yang menjadi tanda kemenangan umat Islam mengharungi cabaran mengerjakan ibadah puasa.



Semalam, buat kali pertama mereka berpuasa sebagai isteri dan semestinya momen itu sungguh indah. Bersahur, berbuka puasa dan mengerjakan solat tarawih bersama kekasih hati mengundang rasa luar biasa di hati.

Apatah lagi sebagai suri, mereka gembira dapat menyediakan juadah untuk suami dengan tangan sendiri.

Bagi Scha, amalan bersahur dititikberatkan setiap kali tibanya Ramadan. Segala rasa mengantuk hilang apabila tangan rancak memasak dan menghidangkan sajian di atas meja. Tambah seronok apabila Awal berselera menjamu juadah air tangannya.

“Lain rasanya apabila bergelar isteri orang. Kalau dulu saya makan saja apa yang ada ketika bersahur, tetapi kini saya lebih bersungguh-sungguh dalam menyediakan makanan.

“Demi suami, saya sanggup bangun awal, memasak apa saja yang dia teringin makan. Senang cerita, kalau boleh, saya mahu sajikan yang terbaik untuknya.

“Kami juga sepakat untuk berbuka puasa bersama-sama. Saya mahu menikmati detik ini dan kerana itu mengurangkan aktiviti seni sepanjang Ramadan.

“Awal yang sibuk kerana jadual kerja padat, jadi saya akan ke tempat kerjanya untuk berbuka puasa dan bersolat tarawih bersama-sama.

“Menu kegemaran kami apabila berbuka adalah ayam percik dan untuk pencuci mulut, saya suka kuih popia manakala Awal pula seri muka,” katanya.

Bintang Awan Dania ini juga menjual baju raya di kios shapoholic di pusat beli-belah The Curve. Kata Scha, ada banyak pilihan cantik dan harganya berpatutan antara RM150 hingga RM300.

Sementara itu, Lisa berkata, suaminya tidak cerewet dalam soal penyediaan makanan. Masaklah apa saja, asalkan bukan makanan Itali dan Korea.

Sepanjang mengenali hati budi Yusry, dia tahu pengarang jantungnya tidak gemar berbuka puasa di luar, sebaliknya lebih selesa di rumah kerana tidak perlu terkejar-kejar, terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan menunggu lama hidangan dipesan.

“Biasalah, setiap kali puasa, ramai berpusu-pusu mahu pulang awal untuk berbuka puasa bersama keluarga dan ia menyebabkan kesesakan lalu lintas. Jika berbuka puasa di luar pula, boleh dikatakan semua tempat penuh kerana ramai orang.

“Yusry bukan jenis suka terkejar-kejar dan menunggu lama untuk berbuka puasa. 
Jadi, berbuka di rumah lebih sesuai. Lagipun, kalau berbuka di rumah nak solat pun senang.

“Bagaimanapun, saya ingatkan dia, jika ada undangan berbuka puasa, kena pergi. 
Orang dah jemput, tak baik pula kita tolak.

“Saya sangat teruja merancang menu untuk bersahur dan berbuka. Apa yang suami mahu dan teringin makan, sebagai isteri saya mesti sediakan. Buat masa ini kami masih menetap di rumah keluarga kerana rumah baru kami di Kajang belum siap.

“Seronok dapat bersahur dan berbuka puasa ramai-ramai. Kami berulang-alik ke rumah keluarga masing-masing, bergantung mana yang lebih dekat dengan tempat kerja,” katanya yang terikat dengan penggambaran drama Mana Hilangnya Juwita untuk Astro Ria hingga pertengahan Ramadan.

Menyentuh sambutan Aidilfitri, Scha terharu apabila Awal meletakkan sepenuh kepercayaan terhadapnya untuk melakukan persiapan, termasuk kuih raya, baju raya dan menghias kediaman mereka.

Keseronokan itu lebih terasa apabila buat kali pertama, mereka akan mengadakan rumah terbuka. Justeru, dari awal dia merangka bagaimana mahu menghias kediaman itu supaya nampak cantik apabila tiba lebaran.

“Saya tak pernah buat rumah terbuka, jadi tentu saya gembira bila Awal bersetuju dengan cadangan ini. Awal percaya dengan selera saya dan dia menyerahkan tanggungjawab menghias rumah, memilih langsir, kuih raya dan baju raya kepada saya. Mungkin hijau menjadi warna tema pilihan saya untuk raya ini.

“Soal beraya di mana dulu, kami tiada masalah kerana rumah keluarga saya dan Awal dekat saja. Saya akan beraya di rumah mentua sebab keluarga Awal ramai tetapi sebelum itu, saya akan jumpa keluarga saya terlebih dulu untuk bersalam-salaman.

“Pada hari raya ketiga, kami akan pulang beraya di Kedah. Awal tak sabar-sabar menanti detik itu sebab dia tak ada kampung.

“Kalau bercakap bab raya, menu wajib keluarga saya adalah roti kerca yang dicicah dengan kuah daging hancur. Awal suka makan, jadi saya akan masak untuk dia.

“Selain itu, antara hidangan yang selalu ada adalah laksa, ketupat jagung, rendang dan kuih muih. Sebelah keluarga Awal pula, saya suka makan nasi ayam dan rendang dibuat ibu mentua,” katanya yang tidak lekang dengan senyuman.

Lisa pula menyerahkan urusan memutuskan beraya di mana dulu kepada Yusry sepenuhnya. Tiada ragu kerana dia yakin suaminya mampu bersikap adil dalam soal pembahagian, apatah lagi dari dulu lagi buah hatinya sedia maklum keakraban hubungannya dengan keluarga.

“Tahun lalu, Yusry pernah datang beraya di rumah keluarga saya dan saya juga mengikut Yusry beraya di kampung halamannya di Gopeng, Perak. Menerusi kunjungan istimewa itu, kami belajar menyesuaikan diri dengan keluarga masing-masing.

“Alhamdulillah, kali ini lebaran lebih bermakna buat kami kerana menyambutnya sebagai suami isteri. Cara persiapan juga berbeza dengan zaman bujang kerana saya sudah berkeluarga.

“Selain menyediakan apa yang perlu untuk keluarga sendiri, saya kena fikirkan mentua dan ipar duai. Saya suka buat persediaan awal dan sudah belikan Yusry baju raya sebelum puasa.

“Sejak ketiadaan ayah, sambutan puasa dan raya terasa hambar. Kehadiran keluarga baru bagaimanapun sedikit sebanyak dapat mengubat kehilangan itu. 
Terasa kembali kemeriahan yang sudah lama hilang dan saya bersyukur ke hadrat Ilahi,” katanya yang ditemani ibu tercinta.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Laman Semasa All Rights Reserved