Powered by Jasper Roberts - Blog

Ceritera Dua Sahabat Apek dan Yassin

on Thursday, July 26, 2012

Ceritera Dua Sahabat Apek dan Yassin
HIDUP ini umpama sebuah roda. Kadangkala kita boleh berada di puncak dunia, dan hanya dengan sekelip mata juga, kita berada di bawah. Jika ingin menemui kejayaan, harus melalui kegagalan agar kejayaan yang dkecapi itu dihargai sepenuhnya.
Itu perumpamaan yang cukup dekat untuk diberikan kepada dua sahabat ini. Mereka telah menempuh pelbagai onak duri dan cabaran hidup biar pada masyarakat, di hadapan layar televisyen, Apek dan Yassin terkenal dengan jenaka mereka.
Bertemu empunya nama Mohd. Saiful Azam Mohamed Yusoff serta sahabatnya, Yassin Yahya membuatkan penulis tidak kering gusi dengan lawak spontan yang sering terpacul daripada mulut dua pelawak ini.
Cekal dan tidak harus lupa diri, itu menjadi pedoman buat dua orang figura pelawak yang namanya tidak pernah lekang dan dilupakan sejak awal pembabitan mereka.
Dua orang pelawak ini mengakui, perjalanan yang mereka lalui banyak pahit dan manisnya. Dari situ juga, banyak pengalaman yang dikaut sepanjang bergelumang dalam industri seni tempatan.
Lawak Apek masih relevan
Memilih kerjaya menjadi seorang pelawak, bukanlah perkara mudah seperti yang disangka. Buat lawak juga perlu punya ilmu supaya apa yang diperkatakan tidak menyakiti hati sesiapa atau menyentuh sensitiviti terhadap apa jua keadaan dan perkara.
Itu perkara yang diamalkan oleh Saiful Apek setelah lebih 18 tahun bergelar insan seni.
"Pelawak sebenarnya perlu ada pengetahuan yang luas tentang ilmu berlawak. Jadi, kriteria ini perlu ada pada semua pelawak walaupun yang baharu. Mereka perlu ada batasan dan mengetahui sensitiviti masyarakat tentang agama, politik dan isu-isu yang tidak perlu dibangkitkan yang membuatkan orang terasa.
"Ketika saya mula-mula tampil dalam industri dahulu, saya lihat pelawak senior seperti Afdlin Shauki serta arwah Din Beramboi, mereka punyai ilmu. To be a good comedian is easy, but to be a briliant comedian is not easy (Mudah untuk menjadi pelawak yang baik, namun untuk menjadi pelawak yang bijak, ia bukan perkara mudah)," tutur Apek ketika ditemui pada majlis sidang akhbar majlis amal 1 Malaysia Charity OKU yang bertempat di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya, Selangor.
Tambah Apek, walaupun telah lama berada dalam industri, namun lawaknya masih boleh diterima dan relevan kepada peminat komedi.
Matang
Akui Apek, ketika ingin mula membina nama, banyak projek yang diambil untuk sesi memperkenal diri kepada masyarakat tentang bakat yang ada. Namun, setelah namanya mula kukuh dan stabil, dirinya mula mengintai sisi baharu yang wujud dalam diri.
"Memang tidak dinafikan dahulu ketika ingin membina nama, saya ambil banyak projek. Namun kini, Alhamdulillah, setelah rezeki mula stabil, saya tidak mahu terlalu terkejar-kejar.
"Setiap insan seni mempunyai satu tahap ia akan mematangkan dirinya dengan memberi lebih banyak kreativiti yang baik. Dalam masa yang sama, mereka juga mula mengembangkan bakat dalam bidang lain. Mungkin sebagai contoh, bagi saya ia lebih kepada bidang pengarahan," bicara Apek bijak menceritakan tentang filem arahannya berjudul Shh…Dia Datang yang bakal ditayangkan tahun hadapan.
Jika sebelum ini, wajah Apek sering menghiasi panggung ketika menjelang Aidilfitri, namun tahun ini, katanya, dia banyak terlibat dengan program raya sahaja serta hadir ke majlis-majlis korporat dan amal.
Yassin pernah lupa diri
Jika Apek petah berbicara, namun lain pula karakter yang ditonjolkan Yassin Yahya atau lebih mesra disapa sebagai Yassin ketika berbicara. Sejak memulakan cerita, Yassin dilihat seperti memendam sebuah rasa. Ia akhirnya telah dikongsi bersama penulis dalam nada penyesalan.
Cerita lelaki berusia 34 tahun ini, dia pernah kecewa dengan apa yang terjadi kepada dirinya dan mengambil inisiatif supaya berdiam seketika untuk menenangkan diri.
"Ketika dilanda masalah, pernah saya terfikir dengan siapa saya ingin mengadu. Jadi, kerana itu saya mengambil inisiatif untuk bermuhasabah. Lebih baik saya mengadu kepada Allah kerana perkara yang elok datang daripada Allah dan yang buruk datang daripada diri sendiri.
"Biarlah apa yang ingin dikata orang kerana kita memang tidak dapat menutup mulut mereka. Satu hari nanti orang akan tahu juga apa yang benar dan sebaliknya," ujar Yassin ketika diajukan persoalan mengenai dirinya yang semakin kurang dilihat di televisyen mahupun layar perak.
Jujur menyusun bicara, tutur Yassin, sebagai manusia, dia cepat lupa diri, dan dia mengakui kesilapan dirinya yang juga begitu.
"Saya pernah berada di atas dan saya pernah lupa seketika dengan keseronokan yang saya kecapi ketika itu. Namun, ini semua ujian yang diberikan oleh-Nya dan saya lebih suka ujian kerana tanpa ujian hidup saya sepi," tuturnya yang kelihatan seolah menyesal dengan jalan yang dipilih ketika itu.
Muhasabah dan syukur
Kes yang menjerat diri Yassin telah membuatkan ia sedar betapa peritnya perjalanan diri menjadi seorang yang dikenali ramai. Bicaranya, antara pengalaman pahit yang sukar dilupakan ialah ketika ditangkap kerana dituduh memiliki ubat batuk dan lain-lain lagi.
"Dari situ saya mula mahu kenal erti hidup seorang artis. Pada ketika itu, saya fikir bagaimana ingin menutup mulut orang daripada terus bercakap tentang perkara yang tidak benar mengenai saya.
"Banyak juga perkara tidak benar tentang diri saya, walaupun ia memang bukan daripada mulut saya sendiri. Sejak itu saya ambil peluang tersebut untuk muhasabah diri dan Alhamdulillah, dalam proses itu, saya bertemu jodoh," ujar Yassin yang telah berumah tangga lebih setahun bersama Farahwahida Maharidan.
Dirinya juga bersyukur kerana dijodohkan bersama seorang wanita yang memahami nya dan sentiasa menyokong serta menjadi tulang belakang suaminya ketika susah dan senang.
"Saya juga ada memberitahu isteri, biarlah apa yang ingin dikata orang, dia sendiri perlu kenal saya. Dan alhadulillah, dia jenis yang memahami dan bersikap terbuka," akhiri Yassin reda dengan kejadian yang melanda diri.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Laman Semasa All Rights Reserved