Powered by Jasper Roberts - Blog

Gandingan mantap Aaron, Nadiya Adam & Hawa

on Wednesday, July 25, 2012

Gandingan mantap Aaron, Nadiya Adam & Hawa
Gandingan mantap Aaron, Nadiya Adam & Hawa


Tidak dinafikan, filem mahupun drama bersiri yang diadaptasi daripada novel-novel terkenal semakin mendapat tempat di hati penonton tempatIni dapat dibuktikan berdasarkan kejayaan yang diperolehi oleh beberapa syarikat produksi yang menerbitkan karya adaptasi seperti Ombak Rindu,
Gemersik Kalbu, Bicara Hati dan banyak lagi.

Mengikut jejak langkah yang sama, Global Station Sdn Bhd bakal menerbitkan sebuah drama 80 episod berjudul Adam Hawa.

Drama tersebut merupakan adaptasi daripada hasil penulisan novelis terkenal, Aisya Sofea, bertajuk Adam & Hawa, terbitan Alaf 21.

Adam Hawa yang dibintangi pelakon hebat, Aaron Aziz dan Nadiya Nisa bakal disiarkan di saluran 134, Astro Mustika HD, pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam bermula 27 Ogos ini.

Penerbitnya, Datin Zaiton Muhd Jiwa berkata, Adam Hawa merupakan novel kedua yang diadaptasi oleh syarikat produksinya selepas Gemersik Kalbu yang telah ditayangkan stesen televisyen TV3 beberapa bulan lalu.

"Karya adaptasi bukanlah perkara baru dalam industri hiburan, malah ia mempunyai keistimewaannya dan kelebihannya yang tersendiri.

"Adam Hawa bukanlah karya biasa yang ada dalam pasaran kerana novel ini ramai pengikutnya. Selain dapat mengetengahkan novel yang berkualiti,
kami mahu beri satu peluang buat peminat novel ini untuk menonton cerita yang sama dalam bentuk visual,"katanya.

Mengenai pemilihan barisan pelakon terlibat, Zaiton berkata, pandangan daripada pembaca novel Adam Hawa juga diambil untuk menentukan pelakon yang sesuai membintangi drama ini.

"Pemilihan pelakon adalah berdasarkan kesesuaian watak dan cadangan daripada pembaca, sedikit sebanyak membantu menjayakan drama ini,"katanya.

Selain Aaron dan Nadiya, barisan pelakon lain yang turut menjayakan Adam Hawa adalah Anzalna Nasir (Dee), Elfaeza Ul Haq (Azie), Dazrin
Kamarudin (Johan), Norman Hakim (Zul), Rozie Rashid (Kak Zah), Aznah Hamid (Maria), Amyza Adnan (Cikgu Zawyah), Lydiawati (Faridah) dan Puteri Sarah (Erin).

90 peratus jalan cerita novel

Sementara itu, pengarahnya, Mohamed Feroz Abdul Kader berkata, pengalaman mengarahkan drama adaptasi tidaklah begitu berbeza berbanding drama lain.

Cuma yang membezakannya hanyalah pada jalan cerita yang tidak boleh diubah sesuka hati.

Bagaimanapun, menurut Feroz, setiap babak yang terkandung dalam penceritaan novel adalah mustahil untuk dipenuhi sepenuhnya menerusi bentuk visual memandangkan ia dilakukan dalam jangka masa singkat.

"Dalam drama ini, 90 peratus jalan cerita adalah berdasarkan penulisan novel dan selebihnya kami telah mengolah mengikut kesesuaian watak dan keadaan. Kami cuba sedaya upaya mengekalkan jalan cerita yang sama supaya ia tidak lari jauh dengan penulisan novel tersebut.

"Walaupun tidak semua yang ditulis dalam novel dapat divisualkan, namun 80 episod yang terkandung dalam drama tersebut sudah cukup untuk menceritakan keseluruhan babak yang ada dalam novel itu," katanya.

Menurutnya, untuk memenuhi jalan cerita novel, penggambaran drama turut dilakukan di beberapa lokasi di luar negara iaitu di Makkah dan Perth, Australia.

Puas hati

Berkongsi pengalaman menjalani penggambaran yang mengambil masa lima bulan untuk disiapkan, Feroz bersyukur segala yang dirancang berjalan sempurna seperti yang ditetapkan.

Menurutnya, sepanjang menjalani penggambaran bersama produksi Adam Hawa, tiada sebarang masalah timbul memandangkan semua yang terlibat telah menunjukkan komitmen yang baik.

"Alhamdulillah, semua krew dan pelakon tahu tugas mereka dan semua kesukaran dapat ditangani dengan baik.

"Sebagai pengarah, saya berpuas hati dan berharap drama ini dapat menarik penonton untuk sentiasa mengikuti kisahnya hingga ke akhir," katanya.

Feroz turut berpuas hati pemilihan pelakon yang dilakukan pembaca kerana gandingan Aaron sebagai Adam Mukhriz dan Nadiya sebagai Ain Hawani ternyata serasi dan berkesan.

"Ini kali pertama saya bekerja dengan Nadiya. Sebelum ini, saya hanya dengar orang memuji lakonannya, tetapi setelah mula penggambaran, saya lihat sendiri kemampuannya menghayati watak dengan baik dan bersahaja.

"Sejujurnya, saya tiada masalah dengan lakonan semua pelakon yang terlibat, lebih-lebih lagi watak utama yang menampilkan keserasian," katanya.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Laman Semasa All Rights Reserved