Powered by Jasper Roberts - Blog

Momentum lebih penting

on Monday, July 23, 2012

Momentum lebih penting
MOMENTUM jauh lebih penting daripada ranking. Demikian tegas jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal menjelang aksi persahabatan menentang Arsenal di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.
Meskipun sedar dengan kritikan segelintir pemerhati bola sepak tempatan yang menyifatkan aksi tersebut tidak memberikan manfaat kepada penambahbaikan ranking FIFA skuad negara, Rajagobal tetap enggan melatah.
Sebaliknya, beliau mahu anak-anak buahnya meraih pengalaman berguna berdepan pasukan yang memiliki reputasi yang cukup hebat seperti The Gunners. “Bagi saya, momentum lebih penting daripada ranking, jadi aksi menentang Arsenal bukan sesuatu yang sia-sia seperti mana didakwa segelintir pihak. ”Selepas Arsenal, kita akan berdepan Manchester City (30 Julai) sebelum menjalani tiga perlawanan ujian persahabatan di Austria.
“Ini sebagai persiapan awal kita mempertahankan Piala AFF, jadi momentum pasukan perlu dikekalkan selepas kita menentang Singapura tempoh hari,” katanya pada sidang akhbar semalam. Untuk rekod, Malaysia tewas 0-4 kepada Arsenal dalam aksi Pra Jelajah Asia kelab itu pada 13 Julai tahun lepas hasil jaringan Aaron Ramsey, Theo Walcott, Carlos Vela dan Thomas Rosicky. Mengulas lanjut kata Rajagobal, beliau yakin anak-anak buahnya tampil dengan aksi lebih mencabar kali ini meskipun beraksi ketika Ramadan, selain kecederaan beberapa pemain utama seperti Safee Sali, Khairul Fahmi Che Mat dan Ahmad Syakir Md Ali.
“Kita bermain di padang yang sama dan juga bola yang sama. Jadi, tidak ada alasan untuk pemain kita takut dengan Arsenal. Hormati boleh, gentar tidak sama sekali,” tegasnya. Dalam pada itu, pengurus The Gunners, Arsene Wenger tetap menghormati kekuatan skuad negara. “Anda (Malaysia) masih mempunyai jurulatih yang sama (Rajagobal) kali ini, sudah tentu perlawanan kali ini lebih mencabar.
"Ramai yang bertanya kenapa Arsenal datang ke sini sebanyak empat kali sejak 1999 tetapi kami memiliki peminat yang benar-benar menakjubkan di sini, jadi mengapa tidak?” katanya.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Laman Semasa All Rights Reserved