Home > Archives for October 2012
Aliff Aziz
PETALING JAYA: Penyanyi Aliff Aziz diarahkan berehat selama sebulan atas nasihat doktor selepas mengalami serangan palpitasi jantung (denyutan jantung tidak teratur) pada Ahad.Menurut kenyataan dikeluarkan syarikat rakaman Sony Music yang menaungi Aliff, pada Isnin, penyanyi berusia 21 tahun itu akan dibawa pulang ke Singapura bersama keluarganya dan bakal menjalani rawatan susulan di tempat kelahirannya itu.Segala aktiviti seninya juga terpaksa dibatalkan dengan serta-merta atas sebab kesihatan tersebut.Kenyataan tersebut turut menjelaskan, apa yang berlaku terhadap Alif itu tiada kaitan dengan isu keretakan hubungannya dengan pelakon Anne Ngasri, baru-baru ini.“Sidang media khas akan diadakan selepas Aliff kembali pulih bagi menjawab segala spekulasi yang melanda dirinya kini,” kata kenyataan tersebut.Penyanyi lagu Jangan Ganggu Pacarku itu dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit dada pada pagi Ahad sebelum dia sempat membuat persembahan bersempena PJ Half Marathon 2012 yang dianjurkan Star Publications di siniAliff disahkan mengalami sesak nafas yang menyebabkan kesakitan pada bahagian dada ketika dibawa ke Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC) di sini sebelum dirujuk ke Hospital Serdang.
KUALA LUMPUR: Aksi sulung gabungan empat gitaris tersohor negara dalam “Konsert G4: Petikan Legasi” di KL Live di sini pada malam Ahad begitu gah dengan kehebatan mereka yang cukup menyerlah.Konsert yang menampilkan Man Kidal, Hillary Ang, Joe (Wings) dan Kid (Search) itu nyata berjaya memukau hampir 2,000 penonton yang memenuhi ruang persembahan itu.Tampil ringkas dengan 15 buah lagu, Ilusi Intonasi dipilih sebagai lagu pembukaan kira-kira pukul 9 malam dengan menggabungkan petikan gitar keempat-empat pemuzik terkenal itu.Nyata kesemua mereka cukup hebat dengan petikan gitar sehingga membuatkan semua peminat yang sudah menunggu seawal pukul 7 petang benar-benar memberi sokongan terbaik.Sukar untuk membandingkan kehebatan mereka yang nyata mempunyai kelebihan masing-masing apabila meneruskan persembahan dengan lagu-lagu seperti 1 Malaysia, Mencari dan POV.
Kid (Search)
Tiga aspek terbaik tentang persembahan empat legasi pemuzik terkenal itu adalah petikan gitar dan pukulan dram yang selaras dan bertenaga, sekali gus memberikan impak ekstra pada konsert tersebut.Persembahan pada malam itu turut menyaksikan Hillary memperkenalkan penyanyi baru iaitu Evelyn Feroza yang menyumbangkan vokal mengiringi petikan hebatnya menerusi lagu Shine On dan White Noise.Momentum persembahan pada malam itu turut diserikan dengan persembahan lagu Gerhana daripada kumpulan Kembara dan turut dinyanyikan oleh penonton yang hadir.Tambah manis apabila Joe (Wings) mengejutkan para peminatnya dengan menyanyikan dua buah lagu berjudul Orang Timur danBlues G4.Nyata persembahan vokal gitaris terkenal itu hebat seiring dengan petikan gitarnya yang cukup membuatkan peminat tidak senang duduk.
Hillary Ang
Tidak ketinggalan Man Kidal turut menjemput anaknya sendiri, Elly untuk mengiringinya dalam mempersembahkan karya seperti HatiEmas, Arah Yang Hilang dan Sentuhan Kidal.Antara lagu lain yang dipersembahkan pada malam itu adalah Sato, Back In Black, Strombringer dan Samar Yang Terang.Barangkali kecacatan konsert tersebut terletak kepada cara komunikasi semua pemuzik yang kelihatan janggal dan kekok.Namun keempat-empat mereka bijak menutup kelemahan tersebut dengan kehebatan mereka bermain gitar. Kehebatan malam itu diakhiri dengan lagu G4 Fast and Furios dan Ilusi Intonasi.
Kawah lumpur bebuak bersaiz sehingga mencecah 2 meter lebar boleh memuatkan tiga empat orang dalam satu masa di Kampung Meritam, Limbang, Sarawak.
PERMUKAAN tanahnya sentiasa lecak tidak mengira musim, sama ada tengkujuh mahupun kemarau. Lebih luar biasa, ia boleh membentuk busut secara perlahan-lahan sebelum meletus dan mengeluarkan bunyi seakan-akan cecair likat yang sedang membuak-buak.Kejadian sama berulang selang beberapa minit kemudian. Setelah beberapa hari, ia akhirnya menghasilkan kawah besar dipenuhi lumpur kehitaman yang lembik dan hangat.Fenomena menakjubkan itu menyebabkan sebuah kawasan lapang di pinggir Kampung Meritam, Limbang, Sarawak yang dulunya lengang bertukar meriah dengan kehadiran orang ramai.Ketua Kampung Meritam, Mahmud Gampal memberitahu, sifatnya yang sering meletus dan menghasilkan bunyi pelik menyebabkan penduduk tempatan menggelar lumpur ajaib berkenaan sebagai 'lumpur bebuak'."Bukan satu, malah ratusan kawah seumpamanya muncul di kawasan berkenaan. "Saiznya pula berbeza-beza. Ada yang hanya sebesar penumbuk. Ada juga bersaiz cukup besar sehingga mencecah dua meter lebar," katanya ketika ditemui baru-baru ini.Apabila semakin ramai keluarga berpindah di kawasan berhampiran lumpur bebuak, populariti lumpur itu meningkat lebih-lebih lagi apabila ada yang mendakwa ia mampu menyembuhkan pelbagai penyakit kulit."Penduduk memberitahu penyakit gatal-gatal dan kudis berkurangan yang dihidapi beransur pulih apabila disapu dengan lumpur bebuak, malah ada juga yang mendakwa penyakit asma mereka sembuh selepas minum air yang ditapis daripada lumpur itu."Khabar tersebut tersebar dengan cepat menyebabkan orang ramai termasuk pelancong Brunei dan Sabah berpusu-pusu datang semata-mata mahu mandi lumpur dan mengubati penyakit masing-masing," ujar Mahmud.Populariti lumpur bebuak menyebabkan Majlis Daerah Limbang (MDL) memutuskan untuk membina beberapa kemudahan asas seperti tandas, bilik mandi awam serta jambatan kayu untuk digunakan oleh pengunjung.Malah kawasan itu juga diiktiraf sebagai antara destinasi pelancongan terkemuka di Limbang oleh Kerajaan Negeri Sarawak.Berpeluang merasai sendiri berendam di dalam kawah lumpur bebuak bersama beberapa pengunjung lain, penulis mengakui ia merupakan pengalaman menyeronokkan dan amat berbaloi untuk dicuba.Abaikan seketika rupa lumpur yang pekat likat dengan bau yang kurang menyenangkan. Sebaik sahaja anda 'berkubang' di dalam kawahnya, perasaan geli hilang serta-merta. Malah, ada yang tidak mahu keluar dari kawah itu yang boleh diibaratkan seperti rendaman terapi untuk menyegarkan badan serta minda.Apa yang menakjubkan, kawah yang mampu memuatkan empat atau lima orang lelaki dewasa dalam satu-satu masa itu sebenarnya tidak berdasar.Bagaimanapun usah risau kerana sifatnya seakan-akan laut mati. Apa sahaja objek yang terjatuh ke dalam kawah berkenaan akan timbul serta-merta termasuk penulis yang mempunyai berat badan mencecah 70 kilogram!Ditanya sejak bila lumpur bebuak terhasil, Mahmud memberitahu tiada sesiapa tahu asal-usul kejadian tersebut yang mempunyai persamaan dengan tanah lumpur di kawasan kaki gunung berapi."Namun yang peliknya, Limbang bukanlah kawasan yang mempunyai gunung berapi"Mengikut cerita yang saya dengar daripada orang lama, ia memang ada di situ sebelum Limbang diteroka, iaitu lebih 100 tahun lalu," katanya.Bercerita lanjut, Mahmud berkata, puluhan tahun dulu iaitu sewaktu beliau masih muda, pelbagai haiwan seperti kerbau, burung dan rusa gemar menjilat lumpur bebuak yang dikatakan mempunyai rasa masin."Sewaktu menjilat lumpur itu, haiwan tersebut menjadi leka tanpa menyedari kehadiran manusia yang berada berdekatan dengannya. Jadi orang kampung mengambil kesempatan itu untuk menangkap haiwan berkenaan menggunakan jerat."Sekarang sudah jarang haiwan liar singgah di sini. Mungkin mereka takutkan manusia," katanya.Sementara itu, salah seorang pengunjung, Dayangku Salmah Pengiran Tajuddin, 42, berkata, kewujudan lumpur bebuak yang dipercayai menjadi penawar kepada penyakit kulit menjadi tarikan utama dia dan keluarganya berkunjung ke Limbang.Surirumah dari Brunei itu berkata, apabila melumurkan lumpur tersebut pada kudis salah seorang anaknya, penyakit kulit itu kering dan sembuh dalam masa tiga hari."Jadi kami sekeluarga kerap datang ke sini untuk mandi lumpur. Kami juga menyimpannya di dalam botol untuk dibawa pulang ke rumah sebagai bekalan atau untuk diberi kepada saudara-mara," katanya.Seorang pelajar, Shianizz Pulang, 17, pula berkata, dia dan rakan-rakan sering mengunjungi kawasan itu semata-mata ingin berendam sambil bermain lumpur."Berendam di dalam kawah amat menyeronokkan kerana lumpurnya suam-suam kuku. Kalau bosan berendam, kami bermain gelongsor menggunakan lumpur yang meleleh di sekitar kawah," katanya.
Koleksi fesyen Muslimah hasil rekaan Emystic yang bakal diperagakan sempena program Halfest 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 10 hingga 14 Oktober ini.
BUSANA muslimah berkongsi pasaran yang tidak kurang pentingnya dalam industri fesyen tanah air masa kini, justeru menjadikannya sebahagian acara penting yang bakal membantu memeriahkan lagi program Halal Fiesta Malaysia (Halfest) 2012 .Ekspo berkaitan industri halal di negara ini pada 10 hingga 14 Oktober itu bakal menyaksikan kemunculan pereka fesyen tempatan serta pemilik butik tanah air mengenengahkan rekaan masing-masing.Dengan membawa tema Moslema In Style, peragaan fesyen tersebut dijangka akan diadakan pada 13 Oktober bermula pukul 3 petang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).Penganjur peragaan, Siti Aishah Mohamed Hanif dari Ploof Sdn. Bhd., berkata, peragaan tersebut yang akan berlangsung selama tiga jam itu bakal menampilkan sebanyak 45 rekaan.Katanya, pereka-pereka fesyen yang terlibat dalam peragaan tersebut akan membawakan rekaan-rekaan berkonsepkan muslimah."Pernyertaan mereka (pereka dan pemilik butik) dalam Halfest 2012 ini akan memberi pendedahan yang luas di samping memartabatkan lagi jenama busana rekaan mereka."Ia juga secara tidak langsung dapat menjana pendapatan untuk pemilik-pemilik busana ini."Yang pasti melalui pentas peragaan ini juga dapat menonjolkan bakat mereka dan idea-idea baru yang dapat memberikan inspirasi kepada kita semua," katanya pada majlis memperkenalkan koleksi rekaan fesyen syarikatnya, Ploof Sdn. Bhd., yang bakal diperagakan pada ekspo tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.Tambah Siti Aishah, pihaknya buat pertama kali akan menyertai peragaan fesyen tersebut pada tahun ini dengan mengetengahkan koleksi-koleksi eksklusif Emystic.Jelasnya lagi, koleksi eksklusif 2012 dari Emystic diinspirasikan oleh keanggunan konsep rekaan 60-an yang dipopularkan oleh para biduanita tanah air seperti Allahyarhamah Saloma.Dengan olahan kontemporari yang masih mengekalkan elemen-elemen klasik koleksi 60-an, Emystic mempamerkan rekaan-rekaan yang segar dan moden.Rekaan itu juga dilihat bersesuaian dengan cita rasa masa kini yang mampu menambat hati para fashionista dan orang ramai yang inginkan sesuatu yang anggun dan selesa."Koleksi eksklusif 2012 merupakan hasil karya kami yang terbaik kerana merangkumi pelbagai rekaan dari kurung moden ala 60-an, jubah ala dres berkolar tinggi, baju kurung kain kapas dengan kemasan renda serta baju kebarung labuh, salah satu rekaan klasik yang kami sediakan.Sebagai penganjur peragaan busana Moslema In Style, Siti Aishah turut mengalu-alukan penyertaan butik pengantin untuk memperagakan koleksi pakaian pengantin muslimah mereka.Pihaknya turut mengalu-alukan penajaan daripada pihak korporat untuk bekerjasama dalam penganjuran peragaan tersebut yang dilihat akan memberi impak positif kepada pihak korporat yang terlibat.Di samping itu, Ploof Sdn. Bhd. turut menawarkan peluang dan ruang kerjasama kepada organisasi-organisasi wanita yang ingin mengadakan program-program kewanitaan semasa berlangsungnya Halfest 2012.Selain itu, Siti Aishah turut memberitahu, pelbagai acara sampingan akan diadakan seperti bengkel solekan, bengkel penggayaan Hijab In Style, kelas penampilan diri, seminar perniagaan busana online dan sebagainya. Maklumat lanjut boleh hubungi Emystic di talian 017-3096067 atau layari www.emystic.com.my.