Powered by Jasper Roberts - Blog

Pasar raya musnah terbakar

on Thursday, August 9, 2012

Pasar raya musnah terbakar

Pasar raya musnah terbakar

BANDARAYA MELAKA - Ribuan helai pakaian untuk pelbagai peringkat usia di Pasaraya Khelass musnah dalam kebakaran di Jalan Kee Ann, Kampung Jawa, di sini, tengah malam kelmarin.

Turut musnah adalah 14 gerai menjual makanan dan buah-buahan di hadapan pasar raya terbabit yang telah beroperasi sejak 14 tahun lalu dalam kejadian jam 11.58 malam.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Lokman Hakim Sulaiman berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada bahagian hadapan pasar raya terbabit.

“Pihak kami menerima panggilan pada jam 11.58 malam sebelum tiba di lokasi enam minit kemudian.

"Ketika itu, api marak memusnahkan keseluruhan isi bangunan namun dapat dikawal pada jam 1.26 pagi," katanya.

Menurutnya, operasi yang tamat jam 3.15 pagi itu itu disertai 47 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Bukit Katil dan Ayer keroh membabitkan lapan jentera.

Lokman Hakim berkata, punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

“Kebakaran ini juga tidak membabitkan kehilangan nyawa walaupun terdapat runtuhan batu-bata pada awalnya, dipercayai akibat tekanan panas dari dalam bangunan dan tujahan air dari luar bangunan oleh pihak bomba yang berusaha memadamkan api,” katanya.

Kerajaan Negeri beri bantuan

Sementara itu, pemilik pasar raya yang menjalankan perniagaan dalam bangunan berusia hampir 100 tahun yang pernah menjadi Pawagam Lido terkenal di Melaka sejak 1920-an ketika ditemui bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan memberikan bantuan kepada peniaga gerai yang turut mengalami kerugian akibat kebakaran itu.

“Pihak MBMB akan menjalankan siasatan jumlah peniaga terlibat, selain mengenal pasti kerugian dialami mereka.

"Apabila laporan sepenuhnya siap, Kerajaan Negeri akan memberikan bantuan berdasarkan laporan dalam tempoh terdekat," katanya yang turut meninjau lokasi kebakaran, malam kelmarin.

Menurutnya, buat sementara waktu, peniaga terbabit dibenarkan berniaga di Jalan Pasar Baru beberapa meter dari lokasi kebakaran.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian sehingga jam 11 pagi mendapati, operasi perniagaan membabitkan beberapa premis di Jalan Kee Ann lumpuh berikutan laluan itu terpaksa ditutup sementara siasatan dijalankan pihak forensik JBPM.

Penutupan jalan itu juga berikutan jalan raya dipenuhi batu-bata akibat runtuhan bangunan pasar raya tersebut.
Peniaga rugi RM10,000

Dalam pada itu, seorang penyewa gerai buah, Ramlah Yusop, 47, berkata, dia kerugian hampir RM10,000 apabila semua buah-buahan termasuk peralatan lain musnah.

“Saya tidak dapat selamatkan apa-apa kerana sebaik tiba di lokasi kejadian sejurus dimaklumkan mengenai kebakaran, api telah marak,” katanya.

Peniaga buah, Serena Tan, 20-an berkata, ia adalah kejadian pertama kali menimpanya.

"Saya berniaga di gerai turun temurun milik keluarga yang diusahakan sejak 40 tahun lalu," katanya.

Tak sempat buat apa-apa


Pengawal keselamatan Pasaraya Khelass terkejut selepas dia mendakwa dimarahi orang ramai kerana melarikan diri sejurus pasar raya itu terbakar.

Mohd Murilah Abdullah, 81, berkata, dia sebenarnya bukan melarikan diri, sebaliknya mencari telefon awam untuk menghubungi penyelianya selepas melihat api mulai marak membakar pasar raya tersebut.

“Sebelum kejadian, saya sedang bersahur di hadapan pasar raya, tiba-tiba saya terlihat api dan tidak sempat berbuat apa-apa kerana api begitu cepat marak.

“Saya tiada telefon bimbit dan cuba mencari telefon awam untuk hubungi penyelia kerana dia selalu pesan, hubunginya jika berlaku apa-apa," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, dia terkejut kerana sebaik sahaja kembali ke pasar raya, orang ramai memarahinya kerana menyangka dia cuba melarikan diri.

Sementara itu, pekerja hotel di hadapan pasar raya terbabit, Mohd Isa Abd Latiff, 34, berkata, dia yang melihat api kira-kira jam 12 tengah malam segera menghubungi bomba.

“Mula-mula saya nampak api kecil di gerai buah yang terletak berhadapan pasar raya berkenaan, namun tidak sampai lima minit api merebak ke dalam pasar raya.

“Banyak kali saya cuba hubungi talian bomba namun tidak dapat disambungkan, namun beberapa minit kemudian bomba datang. Mungkin orang lain dapat menghubungi bomba,” katanya.

Menurutnya, dia turut meminta 13 pelanggan hotel supaya segera mengalihkan kenderaan masing-masing di tempat lebih selamat bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Laman Semasa All Rights Reserved