Ekspo berkaitan industri halal di negara ini pada 10 hingga 14 Oktober itu bakal menyaksikan kemunculan pereka fesyen tempatan serta pemilik butik tanah air mengenengahkan rekaan masing-masing.
Dengan membawa tema Moslema In Style, peragaan fesyen tersebut dijangka akan diadakan pada 13 Oktober bermula pukul 3 petang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Penganjur peragaan, Siti Aishah Mohamed Hanif dari Ploof Sdn. Bhd., berkata, peragaan tersebut yang akan berlangsung selama tiga jam itu bakal menampilkan sebanyak 45 rekaan.
Katanya, pereka-pereka fesyen yang terlibat dalam peragaan tersebut akan membawakan rekaan-rekaan berkonsepkan muslimah.
"Pernyertaan mereka (pereka dan pemilik butik) dalam Halfest 2012 ini akan memberi pendedahan yang luas di samping memartabatkan lagi jenama busana rekaan mereka.
"Ia juga secara tidak langsung dapat menjana pendapatan untuk pemilik-pemilik busana ini.
"Yang pasti melalui pentas peragaan ini juga dapat menonjolkan bakat mereka dan idea-idea baru yang dapat memberikan inspirasi kepada kita semua," katanya pada majlis memperkenalkan koleksi rekaan fesyen syarikatnya, Ploof Sdn. Bhd., yang bakal diperagakan pada ekspo tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Siti Aishah, pihaknya buat pertama kali akan menyertai peragaan fesyen tersebut pada tahun ini dengan mengetengahkan koleksi-koleksi eksklusif Emystic.
Jelasnya lagi, koleksi eksklusif 2012 dari Emystic diinspirasikan oleh keanggunan konsep rekaan 60-an yang dipopularkan oleh para biduanita tanah air seperti Allahyarhamah Saloma.
Dengan olahan kontemporari yang masih mengekalkan elemen-elemen klasik koleksi 60-an, Emystic mempamerkan rekaan-rekaan yang segar dan moden.
Rekaan itu juga dilihat bersesuaian dengan cita rasa masa kini yang mampu menambat hati para fashionista dan orang ramai yang inginkan sesuatu yang anggun dan selesa.
"Koleksi eksklusif 2012 merupakan hasil karya kami yang terbaik kerana merangkumi pelbagai rekaan dari kurung moden ala 60-an, jubah ala dres berkolar tinggi, baju kurung kain kapas dengan kemasan renda serta baju kebarung labuh, salah satu rekaan klasik yang kami sediakan.
Sebagai penganjur peragaan busana Moslema In Style, Siti Aishah turut mengalu-alukan penyertaan butik pengantin untuk memperagakan koleksi pakaian pengantin muslimah mereka.
Pihaknya turut mengalu-alukan penajaan daripada pihak korporat untuk bekerjasama dalam penganjuran peragaan tersebut yang dilihat akan memberi impak positif kepada pihak korporat yang terlibat.
Di samping itu, Ploof Sdn. Bhd. turut menawarkan peluang dan ruang kerjasama kepada organisasi-organisasi wanita yang ingin mengadakan program-program kewanitaan semasa berlangsungnya Halfest 2012.
Selain itu, Siti Aishah turut memberitahu, pelbagai acara sampingan akan diadakan seperti bengkel solekan, bengkel penggayaan Hijab In Style, kelas penampilan diri, seminar perniagaan busana online dan sebagainya.
Maklumat lanjut boleh hubungi Emystic di talian 017-3096067 atau layari www.emystic.com.my.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment