PM umum insentif Chong Wei, Pandelela esok?
SHAH ALAM - Pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei yang memperoleh pingat perak kedua Sukan Olimpik Sabtu lalu akan mengunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya, petang esok.Najib dijangka mengumumkan insentif atau imbuhan bagi Chong Wei dan penerjun negara Pandelela Rinong yang mengutip gangsa kelmarin pada pertemuan tersebut.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Shabery Cheek ketika dihubungi Sinar Harian Online petang ini berkata, pertemuan dijadual berlangsung di Sri Perdana sekitar jam 4.30 petang.
“Lee Chong Wei akan berjumpa dengan Perdana Menteri esok jam 4.30 petang, jadi kalau nak tanya berapa imbuhan yang akan diberi kepada Lee Chong Wei dan Pandelela Rinong, boleh tanya (Perdana Menteri)," kata beliau.
Pertemuan tersebut merupakan yang pertama selepas kepulangan Chong Wei ke tanah air Selasa lalu setelah memperoleh perak Sukan Olimpik 2012 London.
Pandelela akan pulang ke tanah air Selasa ini.
Sebelum final badminton, Najib telah memberi kata-kata semangat dengan meminta Chong Wei agar melakar sejarah dengan merangkul pingat emas.
Meskipun gagal dalam misi membawa pulang emas pertama negara dan gagal kali kedua, Chong Wei tetap menerima pujian dan sokongan rakyat Malaysia.
Dengan pingat perak, secara automatik Chong Wei menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan berjumlah RM300,000 serta insentif kekal dalam bentuk pencen RM3,000 sebulan. Pandelela pula akan menerima RM150,000 dan pencen seumur hidup sebanyak RM2,000 sebulan.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang pula mengumumkan insentif RM100,000 kepada Chong Wei.
Semalam, Star Publications (M) Berhad mengumumkan bahawa kedua-dua Chong Wei dan Pandelela akan menerima sumbangan pihaknya sebanyak RM100,000.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment