PETALING JAYA: Sikap Mamat dari kumpulan Sepah menjadi tanda tanya kepada bekas dua ahlinya yang lain iaitu Jepp dan Shuib apabila pelawak itu sukar untuk dihubungi sejak mereka disahkan berpecah.
Jepp atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin berkata, dia bingung apakah punca Mamat menjauhkan diri daripada mereka termasuklah tidak menjawab panggilan telefon yang dibuat kepadanya.
"Entah sebab apa jadi begitu, saya kurang pasti? Orang lain telefon dia jawab, kalau kami yang telefon pula, dia tidak mahu mengangkat. Tapi kami dengan hati tulus masih lagi ingin berkawan dengannya.
"Tambahan pula saya dah berbelas tahun menjadi sahabat dengan Mamat. Kalau boleh tak mahulah perhubungan ini menjadi keruh," katanya.
Bagaimanapun tambah Jepp, dia mengambil hal itu secara positif dengan menganggap Mamat mungkin sibuk kerana pelbagai urusan kerja.
"Setakat ini kami tidak ada apa-apa isu. Malah sepanjang penggambaran filem Sepah The Movie pada tahun lalu, kami bersikap profesional walaupun pada awalnya tiada keserasian antara kami," ujarnya.
Ditanya adakah ketiga-tiga mereka akan kembali bersatu dalam kumpulan Sepah, kata Jepp, hal itu tidak mungkin akan berlaku memandangkan mereka telah membuat haluan sendiri.
"Rasanya lebih senang kami dengan haluan kerja masing-masing. Dan untuk memikirkan yang Sepah akan bersatu, itu tidak mungkin.
"Projek Sepahtu dibuat pun kerana album lagu antara saya dan Shuib yang diterbitkan oleh syarikat Mawi (MW Entertainment Sdn Bhd). Alhamdulillah, saya lihat sehingga kini, karier kami semakin stabil," ujarnya.
Sementara itu, Sepah The Movie bakal ditayangkan pada 29 November depan dan ia turut dibarisi pelakon Anzalna dan Jehan Miskin.
Filem itu mengisahkan tentang ragam tiga lelaki bujang yang bekerja di sebuah kilang elektronik.
Jep, Shuib dan Mamat yang berkawan rapat sejak kecil mempunyai hobi sama iaitu gemar dengan sukan motor lasak atau motor cross. Mereka yang dikenali sebagai 'Sepah' merupakan juara sukan tersebut di Johor Bahru.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment